
BIARPUN gadis yang memiliki raut wajah manis ini mempunyai kerjaya profesional di firma guaman, ia tidak menghalang dirinya daripada menjalankan aktiviti digemari seperti menulis blog sejak 2009 lalu bagi mengisi masa lapang.
Ketika berbicara dengan–nya, Fatin Feisal tidak banyak berbual mengenai kerjayanya kerana lebih gemar bercakap soal kecantikan serta fesyen.
Bagi Fatin, kepuasan yang dicapai selepas menulis blog mengenai kecantikan dan fesyen mendorongnya meluangkan masa mengemas kini maklumat yang diperoleh untuk dikongsi bersama pembaca.
Kesemua maklumat itu bukan hanya untuk meluaskan pengetahuannya mengenai dunia kecantikan dan fesyen, malah ilmu yang diperoleh dimuat turun ke dalam laman blog miliknya untuk dibaca oleh pengunjung agar sentiasa mengikuti perkembangan rekaan serta gaya terkini.
Kesemua maklumat itu bukan hanya untuk meluaskan pengetahuannya mengenai dunia kecantikan dan fesyen, malah ilmu yang diperoleh dimuat turun ke dalam laman blog miliknya untuk dibaca oleh pengunjung agar sentiasa mengikuti perkembangan rekaan serta gaya terkini.
“Biasanya saya memperuntukkan waktu malam untuk mengemas kini laman blog sendiri dalam dua atau tiga jam sekali seminggu.
“Jika tidak berkesempatan pada waktu malam, saya cuba mencari masa terluang lain untuk mengemas kini maklumat di blog.
“Jika dulu, saya mempunyai minat dalam tarian, namun selepas berhenti daripada aktiviti itu barulah banyak menghabiskan masa dengan blog.
“Tidak hanya memikirkan mengenai kerjaya, hobi mengisi masa dengan menulis blog ini dapat mengimbangi kehidupan seharian,” katanya yang gemarkan rekaan jenama terkemuka, Marc by Marc Jacobs.
Bagi anak sulung daripada dua beradik ini, ia juga bukan hanya hobi semata-mata kerana dia begitu menghargai keindahan fesyen dan gaya yang dicipta. Ini membuatkannya berkobar-kobar meneruskan minat menulis di blog.
Dia juga berasa bertuah kerana diberi peluang merasai pengalaman bersemuka dengan orang penting dalam dunia fesyen di negara ini ketika menghadiri Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFA) baru-baru ini.
Selain melihat perkembangan fesyen dan rekaan terbaru, Fatin juga tidak menolak untuk menambah kenalan dengan golongan ternama dalam dunia fesyen di negara ini. Ini sekali gus membuatkannya bertambah seronok membabitkan diri dalam bidang kecantikan jika mempunyai masa lapang.
Di samping hobi, aktiviti masa lapangnya itu juga sedikit sebanyak ‘membantu’ kerjaya disandang kerana ia memerlukannya berpakaian kemas dan menunjukkan disiplin diri.
Walaupun mempunyai perbezaan ketara antara fesyen dan bidang kerjayanya, Fatin menyukai aktiviti menulis di blog yang dianggap sebagai aktiviti menyeronokkan selain menari.
Bukan hanya maklumat mengenai fesyen, laman blog Fatin juga mengetengahkan produk terbaru daripada beberapa jenama terkenal. Dia menghebahkan kebaikan produk selain maklumat lain yang berkaitan.
Tidak menjadikan kesibukan kerjaya sebagai alasan, Fatin cuba sedaya upaya menghadiri jemputan majlis pelancaran produk penjagaan diri terbaru atau pertunjukan fesyen bagi menambahkan lagi maklumat yang ingin dikongsi bersama pembaca di laman blog miliknya.
Melalui jemputan pelancaran produk kecantikan terbaru daripada pelbagai jenama terkemuka, Fatin yang tersenarai sebagai 10 peserta akhir dalam pencarian penghias muka hadapan majalah berbahasa Inggeris ini mengakui segala maklumat berkenaan tidak hanya dikongsi bersama pembaca. Malah dia sendiri memperoleh manfaat menerusi ulasan mengenai barangan penjagaan kulit berkaitan.
Bukan hanya dunia kecantikan dan fesyen menjadi tarikan untuknya terus menulis blog, gadis manis yang gemar melancong ini turut meminati keenakan makanan untuk dimuat turun dalam laman blognya.
Lebih memilih pencuci mulut, perjalanannya ke pelbagai destinasi seperti London, Perancis, Jepun, Hong Kong dan Bangkok dipenuhi dengan aktiviti yang mesti dilakukan iaitu merasai keenakan makanan mereka.
“Antara pencuci mulut menarik adalah di Paris dan London yang menghasilkan kek serta minuman coklat panas begitu enak.
“Mengikut pengalaman saya, bahan yang digunakan itu mampu menghasilkan pencuci mulut yang cukup lazat seperti penggunaan susu dan mentega berbeza,” katanya yang meminati keenakan rasa manis pai lemon meringue dan kek coklat.
Mengenai penggunaan perkataan coklat dan kucing pada alamat blog miliknya, Fatin akui dia memang menggemari makanan manis terutama coklat manakala kucing adalah haiwan kesukaannya.
“Saya memang menggemari coklat dan jika tidak makan walaupun sedikit dalam sehari, hidup saya seperti tidak berseri dan ceria,” katanya dalam nada ketawa.
Kini, biarpun masih mempunyai komitmen terhadap kerjaya yang sibuk, Fatin meneruskan minatnya menulis blog mengenai kecantikan, fesyen juga beberapa topik berkaitan yang memberikan kepuasan tersendiri dalam hidupnya.
PROFIL
NAMA: Fatin Feisal
ASAL: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 14 September 1979
KERJAYA: Peguam
HOBI: Fesyen, makanan dan tarian
LAMAN BLOG: http://chocolatecatsz.blogspot.com/
~Metro~
0 KOMEN SIKIT ^_^:
Post a Comment