Bakar Kereta Kawan?


MARAN - Akibat gagal kawal kemarahan, seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila membakar kereta Proton Perdana milik kawan sekampungnya dalam satu kejadian di Felda Sungai Nerek dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mencetuskan pertikaman lidah dan tuduh-menuduh melibatkan hal peribadi di hadapan rumah pemilik kenderaan terbabit.

Enggan memanjangkan pertengkaran, pemilik kenderaan tersebut beralih masuk ke dalam rumah tanpa mengetahui tindakannya itu telah membuatkan suspek tidak puas hati dan berang sehingga sanggup membakar keretanya menggunakan pemetik api.

Selepas melakukan perbuatan salah tersebut, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi berkata, tindakan suspek berusia lingkungan 20-an itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian dalam kereta milik mangsa. By: Sinar Harian Pahang

0 KOMEN SIKIT ^_^: